ARENA e-Sukan tanah air terus mencipta sejarah baharu apabila dua rakyat Malaysia terpilih menjadi pengulas rasmi bagi kejohanan Piala Dunia Kelab eFIFA yang akan dianjurkan secara penstriman langsung dari 24 hingga 28 Februari ini.
Dua pengulas itu ialah Muhammad Hafiz Sudin atau dikenali sebagai Abe Sudin dan Matthews Izzac yang merupakan peminat tegar kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea.
Pemilihan itu merupakan pengiktirafan manis buat industri e-Sukan tanah air terutama bagi permainan video FIFA sekali gus merealisasikan impian mereka berdua sejak tujuh tahun lalu.
Ini adalah peluang terbaik buat Hafiz yang diberikan tanggungjawab mengulas dalam bahasa Malaysia sementara Matthews bagi bahasa Inggeris, menonjolkan kemampuan ulasan mereka di peringkat antarabangsa.